Thursday, November 1, 2012

cinta dan pengorbanan



Pengorbanan dan cinta. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Tidak lengkap sekiranya satu elemen tidak wujud. Bila berbicara tentang cinta, pastinya di situ dilihat sebuah pengorbanan. Bila terungkapnya kalimat pengorbanan maka di situ tergambar sebuah cinta. Inilah yang sering ditunjukkan dalam kisah-kiasah cinta dewasa ini. Jika kerana cinta kepada manusia, kononnya lautan api sanggup diredahi, gunung tinggi sanggup didaki, bagaiman pula dengan cinta kepada Allah, apakah yang sanggup dilakukan? Tepuk dada, moga hati terasa.
 Menghitung hari bermula hari ini, tidak lama lagi kita bakal merayakan Hari Raya Aidiladha atau juga disebut sebagai Hari Raya Korban. Bila menyebut tentang Hari Raya Aidiladha, maka tergambarlah di dalam benak fikiran kita mengenai sebuah sejarah agung yang tersingkap di sebaliknya di samping terfikirkan binatang-binatang al-an‘am seperti unta, lembu, kambing yang bakal disembelih. Pastinya, kebanyakan daripada kita malah seluruh kaum muslimin sudah arif tentang sejarah penyembelihan dan sudah maklum mengenai kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Apa tidaknya, setiap tahun kita merayakannya dan mendengar khutbah Aidiladha yang menyebut dan memperingatkan kita tentang sebuah kisah agung itu yang tercoret dan terlakar indah di dalam kalamullah.

Sebuah kisah cinta

“Maka kami beri kabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar. (Ismail).

“Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya,
(Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!”
Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang bersabar.”
(As-Saffat: 101-102)

Ya, inilah kisah agung itu. Ya, menjadi salah satu peristiwa yang saban tahun kita diingatkan tentangnya. Kita akan diceritakan mengenai perintah Allah kepada Nabi Ibrahim dalam mimpinya, tentang Nabi Ismail yang rela andai dirinya disembelih dan tentang Allah mengantikan nabi Ismail dngan seekor sembelihan. Bila membacakan ayat ini, hati terkesan dan hanya tergambar tentang satu perkara iaitu cinta.Adakah anda juga ternampak dan merasakan di situ adanya nilai cinta yang sangat tinggi?Cinta kepada Sang Khalik, Al-Wadud yang utama dan pertama-tamanya mengatasi cinta kepada yang selainnya.

Berputar kembali kisah sebelumnya, kerana perintah Allah, Nabi Ibrahim meninggalkan isteri yang tercinta,Siti Hajar bersama anak yang masih kecil,Nabi Ismail, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, yang tiada tumbuhan terletak di Mekah. Apabila kembali bertemu dengan anaknya, Nabi Ismail yang sudah lama tidak bersua dengannya, datang pula perintah Allah di dalam mimpi untuk menyembelih anaknya itu. Allah..betapa sangat sukar situasi itu. Anak yang ditinggalkan, dan apabila bertemu, harus disembelih!

Tetapi lihatlah, bagaimana cinta kepada Allah yang sangat tinggi, Nabi Ibrahim melaksanakan jua perintah Allah walaupun berat untuk meninggalkan isteri dan anaknya. Pada kali keduanya, perintah untuk menyembelih anaknya. Berat. Sangat berat apabila yang dicinta harus dilepaskan dan ditinggalkan juga harus dikorbankan. Tetapi kerana cinta yang lebih tinggi, pengorbanan perlu dilakukan dan diteruskan. Apabila disebelah cinta kepada manusia, dan di sebelah lagi cinta kepada Allah,maka yang mana satu perlu dipilih? Cintalah yang mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah.

Lihat juga Nabi Ismail, kerana cinta kepada Khaliknya, maka lihatlah apa dikatakannya.
“wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu..”

Tidak sesekali membantah apatah lagi mengungkit peristiwa dahulu sewaktu dirinya ditinggalkan oleh ayahnya. Dengan hati yang sangat redha, maka kerana perintah Allah dan kerana cinta kepada-Nya, maka dia merelakan andai dirinya disembelih. Nyawa sendiri tidak dipentingkan, sanggup menggadaikannya kerana Allah. Bukankah ini cinta namanya? Cinta kepada Allah melebihi segalanya.
Tidak sesekali menyalahi takdir dan ketetapan Allah, malah mentaatinya dengan hati yang penuh cinta.


Siti Hajar yang redha

Di tengah terik matahari di tanah yang kering kontang, Nabi Ibrahim menunggang unta bersama Siti Hajar dan juga bersama anak yang masih kecil. Selepas Siti Hajar diturunkan, Nabi Ibrahim bersiap untuk pergi dan tidak berpaling. Siti Hajar menyedari dan memegang jubah suaminya sambil berkata;

“Wahai suamiku, apakah engkau akan meninggalkan kami di tanah yang gersang ini?”
 Tanpa berpaling, Nabi Ibrahim hanya menanggukkan kepala.

Ditanya lagi, “Adakah ini perintah Allah?”.
“Ya wahai isteriku, ini ialah perintah Allah.”Jawab Nabi Ibrahim.

Siti Hajar terdiam tanpa kata apabila mendengarkan jawapan itu. KemudianSiti Hajar berkata,
“Jika benar ini adalah perintah Allah, tidak perlulah bergundah gulana, Dia pasti tidak akan mempersiakan kami.

Masya-Allah, lihatlah bagaimana seorang isteri yang akan ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang mengungkap kata-kata itu seperti merelakan dirinya ditinggalkan dan sangat yakin bahawa pastinya Allah akan menjaga mereka berdua. Kerana perintah Allah, Siti Hajar merelakan andai dirinya ditinggalkan. Tidak sesekali merayu-rayu agar dirinya tidak ditinggalkan dan dibawa bersama. Tidak. Bahkan redha bahawa itu adalah ketetapan dari Allah. Maka sekali lagi, bukankah ini juga adalah kerana cinta? Tidak juga diceritakan bahawa Siti Hajar melarang untuk Nabi Ibrahim meneruskan perintah seperti dalam mimpinya.

Maka cerita dan kisah ini bukanlah sekadar sejarah penyembelihan yang saban tahun kita terisi dengannya. Tetapi melihatkan kepada kita sejauh mana dan bagaimana pengorbanan yang sangat besar dilakukan kerana cinta yang sangat tinggi kepada Rabb. Maka, apabila kembali menyusuri sirah ini, moga tergambar sebuah nilai cinta yang sangat tinggi.



Dia yang Maha Mencinta

Rasakanlah cinta itu. Contoh cinta kepada Allah dan juga cinta Allah kepadanya hamba-Nya. Allah tidak akan mempersiakan hambanya. Kerana Dia adalah al-Wadud, yang Maha Mencinta, yang memperlakukan hamba-Nya dengan cinta-Nya. Maksud al-Wadud mengikut pandangan ulama, ialah cinta yang sangat tinggi. Tahap cinta yang sebenar-benar cinta. Lihatlah, apabila Siti Hajar yang ditinggalkan di tanah yang kering kontang dan seringkali tersalah melihat kawasan yang mempunyai air dan berlari ke arahnya namun hakikatnya itu adalah sekadar fatamorgana, tetapi Allah memancarkan air di tempat Nabi Ismail menghentak-hentakkan kakinya ketika menangis. Seterusnya, apabila Nabi Ibrahim ingin menyembelih Nabi Ismail, Allah mengantikannya dengan seekor sembelihan yang besar.

“Lalu, Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim!”;

Sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu.” Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik;

Sesungguhnya, ini benar-benar satu ujian yang nyata.

Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
(As-Saffat:104-107)

Masya-Allah, lihatlah apabila kita membuat sesuatu kerana Allah, maka percayalah bahawa Allah pasti tidak mensia-siakan usaha dan pengorbanan seorang hamba yang dilakukannya kerana Dia, dan pastinya membalasnya dengan sifat Maha Mencinta-Nya. Sungguh, ketetapannya itu ada hikmahnya. Maka, teruskanlah melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dengan meyakini Allah tahu hikmahnya. Teruskanlah melayari kehidupan ini dengan menyegarkan cinta kepada-Nya setiap hari dan setiap ketika. Duduk seketika, bermuhasabahlah tentang sejauh mana cinta kita kepada Pemilik Cinta itu. Ya, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar telahpun membuktikannya. Bagaimana dengan kita? Mungkin sahaja pengorbanan kita tidak setara dengan pengorbanan besar hamba-hamba  yang dekat dengan Allah ini, namun Allah tahu bahawa kita sangat-sangat mendambakan cinta-Nya dan berusaha untuk mendapatkan perhatian dari-Nya. Maka rasakanlah cinta-Nya dalam setiap nafas, setiap degupan jantung, setiap derap kaki, setiap gerak tangan, setiap udara yang kita hirup, setiap nikmat dari-Nya, pasti tidak akan pernah bermakna tanpa cinta-Nya.

Sedar, bahawa diri ini bukanlah orang yang selayaknya menulis tentang cinta. Apatah lagi cinta kepada Allah. Sedar bahawa diri ini juga tidak layak berkata tentang pengorbanan kerana sebuah cinta, apatah lagi melakukan pengorbanan kerana cinta kepada Allah. Sedar, bahawa cinta kepada Allah mungkin sahaja belum sempurna, namun sekadar mencoret sebuah kisah cinta agung.

Seperti air zam-zam yang menyuburkan tanah yang kering-kontang pada asalnya, moga dengan sentuhan cahaya dan cinta-Nya, hati kita tersubur dengannya. Insya-Allah.

p/s: xtahu apa yang pernah dilakukan sbg pengorbanan kerana cinta pada Allah.. Allahu Allah..mungkin sangat2 sedikit.. 

remind me to search His love :)