Puasa sebagai latihan
ketaqwaan
“Wahai orang-orang
yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Surah Al-Baqarah:183
Kembali melihat kepada firman Allah ini, Allah memerintahkan orang-orang
yang beriman untuk melaksanakan rukun islam yang ketiga, supaya dapat menjadi
orang yang bertakwa. Bukankah dari situ kita dapat melihat bahawa puasa itu
adalah salah satu jalan menuju ketaqwaan? Ramadan juga disebut medan latihan
takwa kerana objektif puasa itu sendiri adalah untuk mendidik ketakwaan dalam
diri Mukmin.
Ramadan ialah satu bulan yang istimewa bahkan yang teristimewa kerana
ianya satu-satunya bulan dalam setahun yang diwajibkan ke atas kita sebagai
seorang muslim untuk berpuasa. Pada bulan yang istimewa ini, segala pintu
kebajikan dan amalan terbuka luas untuk kita meraih taqwa. amatlah rugi kiranya jika kita tidak
menggunakan peluang yang ada di bulan Ramadan untuk meraih taqwa.
Apakah itu taqwa?
Ada satu hadis dari Rasulullah s.a.w mafhumnya,
“Bertaqwalah (takutlah) kepada Allah dimana kamu berada, gantilah
(ikutilah) keburukan dengan kebaikan, dan berakhlaklah dengan manusia dengan
akhlak yang baik.”
(Hadis Hasan, Riwayat At-Tarmizi)
Dari segi istilah, takwa bererti
(waqa =berhati-hati) atau (wiqayah =pencegahan). Jadi orang yang
bertakwa, ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan mencegah diri mereka
daripada melanggar hukum Allah lahir dan batin hasil daripada kesedaran yang
tinggi terhadap pemerhatian Allah. Orang yang bertakwa mempunyai kemampuan
mengawal diri dan tidak tunduk kepada pujukan hawa nafsu. Orang yang bertakwa
juga dijamin bantuan rezeki serta keberkatan daripada Allah. Apabila seseorang
itu mempunyai ketakwaan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah, maka dia akan
melakukan kebajikan dan kebaikan.
Saidina Ali r.a telah memberikan empat sifat bagi orang bertakwa:
1) Ia takutkan Allah kerana keagungan-Nya.
2) Ia melaksanakan ajaran yang diturunkan Allah.
3) Ia redha dengan rezeki yang sedikit.
4) Ia membuat persediaan untuk menghadapi hari kematian.
Agar puasa berbuah takwa
Puasa mendidik jiwa kita, menahan nafsu, menahan perkara-perkara
yang tidak boleh dilakukan di siang hari seperti makan dan minum,
memperbanyakkan bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan amalan sunat dan
sebagainya. Jadi apa yang diharapkan dalam proses tarbiyah ini? Ya, sudah
tentu, latihan-latihan ini untuk membuah hasilnya iaitu takwa dan sudah tentu
untuk menjadi orang-orang yang bertakwa. Berbaloi kan, andai puasa kita kali
ini, bukan semata-mata berlapar dan dahaga, tetapi juga membuahkan hasil iaitu takwa dihujungnya?
Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Berapa ramai
orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.” (Riwayat
Ibn Majah)
Moga puasa kita tidak seperti ini. Puasa bukan sekadar
puasa, tetapi moga mendapat rahmat, keberkatan dan pengampunan dari Allah.
insya-Allah.
Moga pepohonan
Ramadan, berbunga iman, berbuah takwa
Allah memberikan sesuatu yang tinggi dan mahal
harganya di sebalik puasa, dengan ganjaran dan kelebihan-kelebihannya tetapi
kita sebagai manusia selalu leka dengan sesuatu yang kecil nilainya. Jadikan
Ramadan kita, sebagai madrasah untuk mendidik diri menjadi insan yang bertakwa
dan mempersiapkan diri mengahadapi bulan-bulan yang mendatang dengan lebih
baik.
Saat 1 Syawal bakal menjelang,
apa yang diimpikan adalah bergembira kerana fitrah yang telah Berjaya disucikan
setelah memlaui madrasah Ramadan. Andai kali ini Ramadan yang terakhir, sanggup
kita biarkan Ramadan ini berlalu tanpa mendapat takwa? Layakkah kita berhari
raya, dengan hasil yang sifar. Dalam keasyikan menyediakan pakaian baru dan
persiapan menyambut hari raya, jangan diabaikan untuk mendapatkan hasil dari bulan
puasa itu sendiri iaitu ketaqwaan.
Sedangkan takwa adalah sebaik-baik pakaian dan perhiasan di dunia dan
takwa juga sebaik-baik bekalan. Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan sebaik-baik pakaian adalah takwa.”(al-A’raf: 26)
“Hendaklah kamu berbekal, dan
sebaik-baik bekalan adalah takwa." (al-Baqarah:197)
Mari mendapat motivasi dari Al-Quran yang mengambarkan sifat-sifat orang
yang bertaqwa, dan ganjaran dan balasan yang dijanjikan untuk orang-orang yang
bertaqwa.
"Sesungguhnya, orang yang bertakwa itu, berada dalam syurga-syurga
(taman-taman), dan (di dekat) mata air (yang mengalir). (al-Hijr:45) Disambung ;agi dalam ayat 46-49 surah al-Hijr.
Semoga Ramadan kita kali ini semakin lebat berbunga keimanan kita dan moga dapat berbuah ketaqwaan. Amin.