Friday, May 6, 2016

Ramadan medan menuju taqwa


Puasa sebagai latihan ketaqwaan

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Surah Al-Baqarah:183

     Kembali melihat kepada firman Allah ini, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk melaksanakan rukun islam yang ketiga, supaya dapat menjadi orang yang bertakwa. Bukankah dari situ kita dapat melihat bahawa puasa itu adalah salah satu jalan menuju ketaqwaan? Ramadan juga disebut medan latihan takwa kerana objektif puasa itu sendiri adalah untuk mendidik ketakwaan dalam diri Mukmin.

Ramadan ialah satu bulan yang istimewa bahkan yang teristimewa kerana ianya satu-satunya bulan dalam setahun yang diwajibkan ke atas kita sebagai seorang muslim untuk berpuasa. Pada bulan yang istimewa ini, segala pintu kebajikan dan amalan terbuka luas untuk kita meraih taqwa.  amatlah rugi kiranya jika kita tidak menggunakan peluang yang ada di bulan Ramadan untuk meraih taqwa.

Apakah  itu taqwa?
Ada satu hadis dari Rasulullah s.a.w mafhumnya,

“Bertaqwalah (takutlah) kepada Allah dimana kamu berada, gantilah (ikutilah) keburukan dengan kebaikan, dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
 (Hadis Hasan, Riwayat At-Tarmizi)

 Dari segi istilah, takwa bererti (waqa  =berhati-hati) atau (wiqayah =pencegahan). Jadi orang yang bertakwa, ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan mencegah diri mereka daripada melanggar hukum Allah lahir dan batin hasil daripada kesedaran yang tinggi terhadap pemerhatian Allah. Orang yang bertakwa mempunyai kemampuan mengawal diri dan tidak tunduk kepada pujukan hawa nafsu. Orang yang bertakwa juga dijamin bantuan rezeki serta keberkatan daripada Allah. Apabila seseorang itu mempunyai ketakwaan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah, maka dia akan melakukan kebajikan dan kebaikan.

Saidina Ali r.a telah memberikan empat sifat bagi orang bertakwa:
1) Ia takutkan Allah kerana keagungan-Nya.
2) Ia melaksanakan ajaran yang diturunkan Allah.
3) Ia redha dengan rezeki yang sedikit.
4) Ia membuat persediaan untuk menghadapi hari kematian.


Agar puasa berbuah takwa

Puasa mendidik jiwa kita, menahan nafsu, menahan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan di siang hari seperti makan dan minum, memperbanyakkan bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan amalan sunat dan sebagainya. Jadi apa yang diharapkan dalam proses tarbiyah ini? Ya, sudah tentu, latihan-latihan ini untuk membuah hasilnya iaitu takwa dan sudah tentu untuk menjadi orang-orang yang bertakwa. Berbaloi kan, andai puasa kita kali ini, bukan semata-mata berlapar dan dahaga, tetapi juga  membuahkan hasil iaitu takwa dihujungnya?

Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,  “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.” (Riwayat Ibn Majah)

Moga puasa kita tidak seperti ini. Puasa bukan sekadar puasa, tetapi moga mendapat rahmat, keberkatan dan pengampunan dari Allah. insya-Allah.

Moga pepohonan Ramadan, berbunga iman, berbuah takwa

Allah memberikan sesuatu yang tinggi dan mahal harganya di sebalik puasa, dengan ganjaran dan kelebihan-kelebihannya tetapi kita sebagai manusia selalu leka dengan sesuatu yang kecil nilainya. Jadikan Ramadan kita, sebagai madrasah untuk mendidik diri menjadi insan yang bertakwa dan mempersiapkan diri mengahadapi bulan-bulan yang mendatang dengan lebih baik.

Saat 1 Syawal bakal menjelang, apa yang diimpikan adalah bergembira kerana fitrah yang telah Berjaya disucikan setelah memlaui madrasah Ramadan. Andai kali ini Ramadan yang terakhir, sanggup kita biarkan Ramadan ini berlalu tanpa mendapat takwa? Layakkah kita berhari raya, dengan hasil yang sifar. Dalam keasyikan menyediakan pakaian baru dan persiapan menyambut hari raya, jangan diabaikan untuk mendapatkan hasil dari bulan puasa itu sendiri iaitu ketaqwaan.

Sedangkan takwa adalah sebaik-baik pakaian dan perhiasan di dunia dan takwa juga sebaik-baik bekalan. Allah berfirman yang bermaksud,  

“Dan sebaik-baik pakaian adalah takwa.”(al-A’raf: 26)
 “Hendaklah kamu berbekal, dan sebaik-baik bekalan adalah takwa." (al-Baqarah:197)

Mari mendapat motivasi dari Al-Quran yang mengambarkan sifat-sifat orang yang bertaqwa, dan ganjaran dan balasan yang dijanjikan untuk orang-orang yang bertaqwa.
"Sesungguhnya, orang yang bertakwa itu, berada dalam syurga-syurga (taman-taman), dan (di dekat) mata air (yang mengalir). (al-Hijr:45)  Disambung ;agi dalam ayat 46-49 surah al-Hijr.

Semoga Ramadan kita kali ini semakin lebat berbunga keimanan kita dan moga dapat berbuah ketaqwaan. Amin. 






No comments:

Post a Comment