Pengorbanan dan cinta. Ibarat
irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Tidak lengkap sekiranya satu elemen
tidak wujud. Bila berbicara tentang cinta, pastinya di situ dilihat sebuah
pengorbanan. Bila terungkapnya kalimat pengorbanan maka di situ tergambar
sebuah cinta. Inilah yang sering ditunjukkan dalam kisah-kiasah cinta dewasa
ini. Jika kerana cinta kepada manusia, kononnya lautan api sanggup diredahi,
gunung tinggi sanggup didaki, bagaiman pula dengan cinta kepada Allah, apakah
yang sanggup dilakukan? Tepuk dada, moga hati terasa.
Menghitung hari bermula hari ini, tidak lama
lagi kita bakal merayakan Hari Raya Aidiladha atau juga disebut sebagai Hari
Raya Korban. Bila menyebut tentang Hari Raya Aidiladha, maka tergambarlah di dalam
benak fikiran kita mengenai sebuah sejarah agung yang tersingkap di sebaliknya
di samping terfikirkan binatang-binatang al-an‘am seperti unta, lembu, kambing
yang bakal disembelih. Pastinya, kebanyakan daripada kita malah seluruh kaum
muslimin sudah arif tentang sejarah penyembelihan dan sudah maklum mengenai
kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Apa tidaknya, setiap tahun kita
merayakannya dan mendengar khutbah Aidiladha yang menyebut dan memperingatkan
kita tentang sebuah kisah agung itu yang tercoret dan terlakar indah di dalam
kalamullah.
Sebuah kisah cinta
“Maka kami beri kabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak
yang sangat sabar. (Ismail).
“Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya,
(Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku
menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!”
Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan
(Allah) kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang
bersabar.”
(As-Saffat: 101-102)
Ya, inilah kisah agung itu. Ya, menjadi salah satu
peristiwa yang saban tahun kita diingatkan tentangnya. Kita akan diceritakan
mengenai perintah Allah kepada Nabi Ibrahim dalam mimpinya, tentang Nabi Ismail
yang rela andai dirinya disembelih dan tentang Allah mengantikan nabi Ismail
dngan seekor sembelihan. Bila membacakan ayat ini, hati terkesan dan hanya
tergambar tentang satu perkara iaitu cinta.Adakah anda juga ternampak dan
merasakan di situ adanya nilai cinta yang sangat tinggi?Cinta kepada Sang
Khalik, Al-Wadud yang utama dan pertama-tamanya mengatasi cinta kepada yang
selainnya.
Berputar kembali kisah sebelumnya, kerana perintah Allah,
Nabi Ibrahim meninggalkan isteri yang tercinta,Siti Hajar bersama anak yang
masih kecil,Nabi Ismail, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang,
yang tiada tumbuhan terletak di Mekah. Apabila kembali bertemu dengan anaknya,
Nabi Ismail yang sudah lama tidak bersua dengannya, datang pula perintah Allah
di dalam mimpi untuk menyembelih anaknya itu. Allah..betapa sangat sukar
situasi itu. Anak yang ditinggalkan, dan apabila bertemu, harus disembelih!
Tetapi lihatlah, bagaimana cinta kepada Allah yang
sangat tinggi, Nabi Ibrahim melaksanakan jua perintah Allah walaupun berat
untuk meninggalkan isteri dan anaknya. Pada kali keduanya, perintah untuk
menyembelih anaknya. Berat. Sangat berat apabila yang dicinta harus dilepaskan
dan ditinggalkan juga harus dikorbankan. Tetapi kerana cinta yang lebih tinggi,
pengorbanan perlu dilakukan dan diteruskan. Apabila disebelah cinta kepada
manusia, dan di sebelah lagi cinta kepada Allah,maka yang mana satu perlu
dipilih? Cintalah yang mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah.
Lihat juga Nabi Ismail, kerana cinta kepada Khaliknya,
maka lihatlah apa dikatakannya.
“wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu..”
Tidak sesekali membantah apatah lagi mengungkit peristiwa dahulu
sewaktu dirinya ditinggalkan oleh ayahnya. Dengan hati yang sangat redha, maka
kerana perintah Allah dan kerana cinta kepada-Nya, maka dia merelakan andai
dirinya disembelih. Nyawa sendiri tidak dipentingkan, sanggup menggadaikannya
kerana Allah. Bukankah ini cinta namanya? Cinta kepada Allah melebihi
segalanya.
Tidak sesekali menyalahi takdir dan ketetapan Allah, malah mentaatinya
dengan hati yang penuh cinta.
Siti Hajar yang redha
Di tengah terik matahari di tanah yang kering
kontang, Nabi Ibrahim menunggang unta bersama Siti Hajar dan juga bersama anak
yang masih kecil. Selepas Siti Hajar diturunkan, Nabi Ibrahim bersiap untuk
pergi dan tidak berpaling. Siti Hajar menyedari dan memegang jubah suaminya
sambil berkata;
“Wahai suamiku, apakah engkau akan meninggalkan kami di tanah yang
gersang ini?”
Tanpa berpaling, Nabi Ibrahim
hanya menanggukkan kepala.
Ditanya lagi, “Adakah ini perintah Allah?”.
“Ya wahai isteriku, ini ialah perintah Allah.”Jawab Nabi Ibrahim.
Siti Hajar terdiam tanpa kata apabila mendengarkan jawapan itu. KemudianSiti
Hajar berkata,
“Jika benar ini adalah perintah Allah, tidak perlulah bergundah gulana,
Dia pasti tidak akan mempersiakan kami.
Masya-Allah, lihatlah bagaimana seorang isteri yang
akan ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang mengungkap
kata-kata itu seperti merelakan dirinya ditinggalkan dan sangat yakin bahawa
pastinya Allah akan menjaga mereka berdua. Kerana perintah Allah, Siti Hajar
merelakan andai dirinya ditinggalkan. Tidak sesekali merayu-rayu agar dirinya
tidak ditinggalkan dan dibawa bersama. Tidak. Bahkan redha bahawa itu adalah
ketetapan dari Allah. Maka sekali lagi, bukankah ini juga adalah kerana cinta? Tidak
juga diceritakan bahawa Siti Hajar melarang untuk Nabi Ibrahim meneruskan
perintah seperti dalam mimpinya.
Maka cerita dan kisah ini bukanlah sekadar sejarah
penyembelihan yang saban tahun kita terisi dengannya. Tetapi melihatkan kepada
kita sejauh mana dan bagaimana pengorbanan yang sangat besar dilakukan kerana
cinta yang sangat tinggi kepada Rabb. Maka, apabila kembali menyusuri sirah
ini, moga tergambar sebuah nilai cinta yang sangat tinggi.
Dia yang Maha Mencinta
Rasakanlah cinta itu. Contoh cinta kepada Allah dan
juga cinta Allah kepadanya hamba-Nya. Allah tidak akan mempersiakan hambanya.
Kerana Dia adalah al-Wadud, yang Maha Mencinta, yang memperlakukan hamba-Nya
dengan cinta-Nya. Maksud al-Wadud mengikut pandangan ulama, ialah cinta yang
sangat tinggi. Tahap cinta yang sebenar-benar cinta. Lihatlah, apabila Siti
Hajar yang ditinggalkan di tanah yang kering kontang dan seringkali tersalah
melihat kawasan yang mempunyai air dan berlari ke arahnya namun hakikatnya itu
adalah sekadar fatamorgana, tetapi Allah memancarkan air di tempat Nabi Ismail
menghentak-hentakkan kakinya ketika menangis. Seterusnya, apabila Nabi Ibrahim
ingin menyembelih Nabi Ismail, Allah mengantikannya dengan seekor sembelihan
yang besar.
“Lalu, Kami panggil dia, “Wahai
Ibrahim!”;
Sungguh engkau telah membenarkan
mimpi itu.” Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang
berbuat baik;
Sesungguhnya, ini benar-benar
satu ujian yang nyata.
Dan kami tebus anak itu dengan
seekor sembelihan yang besar.”
(As-Saffat:104-107)
Masya-Allah, lihatlah apabila kita membuat sesuatu kerana Allah, maka
percayalah bahawa Allah pasti tidak mensia-siakan usaha dan pengorbanan seorang
hamba yang dilakukannya kerana Dia, dan pastinya membalasnya dengan sifat Maha
Mencinta-Nya. Sungguh, ketetapannya itu ada hikmahnya. Maka, teruskanlah
melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dengan meyakini Allah
tahu hikmahnya. Teruskanlah melayari kehidupan ini dengan menyegarkan cinta
kepada-Nya setiap hari dan setiap ketika. Duduk seketika, bermuhasabahlah
tentang sejauh mana cinta kita kepada Pemilik Cinta itu. Ya, Nabi Ibrahim, Nabi
Ismail dan Siti Hajar telahpun membuktikannya. Bagaimana dengan kita? Mungkin
sahaja pengorbanan kita tidak setara dengan pengorbanan besar hamba-hamba yang dekat dengan Allah ini, namun Allah tahu
bahawa kita sangat-sangat mendambakan cinta-Nya dan berusaha untuk mendapatkan
perhatian dari-Nya. Maka rasakanlah cinta-Nya dalam setiap nafas, setiap
degupan jantung, setiap derap kaki, setiap gerak tangan, setiap udara yang kita
hirup, setiap nikmat dari-Nya, pasti tidak akan pernah bermakna tanpa
cinta-Nya.
Sedar, bahawa diri ini bukanlah orang yang selayaknya menulis tentang
cinta. Apatah lagi cinta kepada Allah. Sedar bahawa diri ini juga tidak layak
berkata tentang pengorbanan kerana sebuah cinta, apatah lagi melakukan
pengorbanan kerana cinta kepada Allah. Sedar, bahawa cinta kepada Allah mungkin
sahaja belum sempurna, namun sekadar mencoret sebuah kisah cinta agung.
Seperti air zam-zam yang menyuburkan tanah yang kering-kontang pada
asalnya, moga dengan sentuhan cahaya dan cinta-Nya, hati kita tersubur
dengannya. Insya-Allah.
p/s: xtahu apa yang pernah dilakukan sbg pengorbanan kerana cinta pada Allah.. Allahu Allah..mungkin sangat2 sedikit..
remind me to search His love :)